Diciptakan sebagai khalifah, insan hasil cantuman sperma dan ovum sememangnya adalah makhluk yang lemah. Ditambah dengan galasan ujian untuk mengesahkan imannya, tertapislah manusia itu kepada dua golongan; yang sabar lantas beriman dan yang gusar lantas ingkar. Hari-hari yang dilalui sering diselangi dengan kegembiraan dan kedukaan, tanda bahawa turun naik roda kehidupan itu bertujuan mendidik manusia. Agar bersyukur dalam kesenangan dan bersabar tika kesulitan. Itulah definisi iman yang dimanifestasi melalui perbuatan.
Mengetahui dan meyakini bahawa akhirat adalah kehidupan abadi adalah dua perkara yang berbeza. Tahu sahaja tidak cukup, andai tidak diterjemah melalui perbuatan. Realitinya hari ini kita hidup pada bayangan impian yang dikejar untuk hari esok. Cita-cita melangit pada hari depan yang belum pasti tidak sepatutnya menghalang kita daripada mengingati tarikh kembali ke negeri akhirat yang abadi. Kerana itu Rasulullah SAW menyarankan agar kita menyikapi kehidupan umpama seorang seorang musafir. Bersegera di waktu pagi tanpa menanti waktu petang, beramal di waktu petang tanpa bertangguh ke esok paginya!
Malang apabila yang terjadi hari ini adalah kita melanggani nikmat sihat dengan melengahkan ibadat. Hingga ketika sakit datang barulah nikmat itu diratapi pemergiannya. Begitu juga ketika tua tidak bergigi dan sendi lemah di sana-sini, usia muda mula dirindui. Parah apabila mati yang tidak mungkin akan kembali itu tiba sebelum sempat beramal ketika hayatnya!
Seharusnya dunia ini dijadikan jambatan ke akhirat sana, yang tanpanya tidak mungkin negeri akhirat akan dijejaki. Dunia inilah ladang untuk bercucuk tanam, agar seorang Muslim itu mengerti tempat kembalinya bukan di sini. Masing-masing menyiapkan jambatannya untuk menuju ke seberang. Matlamat kita yang pasti adalah berkejar ke akhirat! Mukmin yang bijak tidak akan terpedaya dengan kesenangan dunia, tidak merasa tenang dengannya dan menyiapkan diri meninggalkannya; selaras pesanan Allah ‘azza wajalla:
“Sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah kesenangan (untuk sementara waktu sahaja) dan sesungguhnya hari akhirat itulah sahaja negeri yang kekal”
(Ghaafir:39)
Bukanlah bermaksud dengan berkejar ke akhirat itu kita meninggalkan dunia seluruhnya. Sebagai jambatan yang seharusnya dijadikan senjata untuk menyeberang ke akhirat sana, dunia harus dilayan sebagai kenderaan sebelum tiba ke negeri abadi. Apa jua yang diusahakan di dunia ini tujuannya adalah untuk dijadikan tukaran balasan baik di akhirat nanti. Dengan itu tidak mungkin seorang mukmin membuang hayatnya pada perbuatan tidak berfaedah, dengan kata lain yang tidak punya nilai saham di akhirat sana. Perkara ini hanya mampu dicapai mereka yang yakin bahawa akhirat itu lebih baik dan kekal selamanya. Perbuatan lebih berhak menterjemah kefahaman.
Mukmin yang merindui akhirat, makan dan tidurnya untuk akhirat. Mukmin yang mencintai syurga, pekerjaan dan ibadahnya untuk Allah semata. Mukmin yang mengharapkan ganjaran pahala akan mengelakkan diri dari aktiviti yang tidak berfaedah. Semuanya kerana mereka seakan tidak punya masa, lantaran dunia ini sementara cuma dan harus dimanfaatkan demi meraih akhirat yang selamanya.
Ingatlah ketika Adam dan Siti Hawa dijadikan di syurga kemudian diturunkan ke bumi, Allah menjanjikan manusia yang beramal soleh untuk dikembalikan semula ke syurga. Seharusnya tanah air asal manusia iaitu syurga adalah tempat yang dirindui oleh mukmin yang berakal, laksana ingin pulang ke kampung halamannya. Tetapi kebanyakan daripada kita lupa, dek kerana hasutan syaitan yang menjadi musuh yang nyata.
Pulanglah mukmin yang dijanjikan syurga, akhirat yang mewah sudah menanti sekian lama.
0 comments:
Catat Ulasan