Kelebihan Aqidah yang mantap

Allah SWT berfirman: “Tidakkah engkau melihat (Wahai Muhammad), aagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan, iaitu: kalimah yang baik adalah sebagai sebatang pohon yang baik, yang pangkalnya (akar tunjangnya) tetap teguh, dan cabang pucuknya menjulang ke langit. Dia mengeluarkan buahnya pada tiap-tiap masa dengan izin Tuhannya. Dan Allah mengemukakan perbandingan-perbandingan itu untuk manusia, supaya mereka beringat (mendapat pelajaran).” - Surah Ibrahim 14 : Ayat 24-25)

Di akhir Ayat 25 Surah Ibrahim, Allah SWT menegaskan tujuan perbandingan dilakukan supaya kita berfikir dan mengkaji kepentingan akidah yang kukuh.

Orang yang mempunyai asas akidah yang mantap, seumpama pokok yang rimbun dan kukuh. Iman mereka umpama akar pokok yang mencengkam bumi dengan kuat sehingga tiada ribut, taufan atau angin yang mampu mencabutnya. Pohonnya yang rendang memayungi semua orang yang berada di sekelilingnya. Ia menghasilkan buah-buahan yang manis, enak berkhasiat dan menyegarkan. Bahkan buah-buahannya turut menjadi santapan kepada keluarga, rakan, jiran tetangga dan masyarakat.

Mereka tidak mudah digoyahkan oleh persekitaran yang negatif, tidak tumbang iman kerana desakan hidup atau habuan dunia. Apabila bekerja, mereka bekerja dengan amanah. Andai menjadi majikan, mereka menjadi majikan yang prihatin dan simpati terhadap pekerja bawahan. Sekiranya berniaga, mereka tidak akan mengamalkan rasuah atau penipuan. Mereka mengeluarkan zakat perniagaan dan menyantuni golongan kurang bernasib baik.

Sebaliknya, orang yang tidak beriman atau tidak kukuh imannya ibarat pokok yang tidak berguna. Akarnya lembut hingga mudah tercabut. Dedaunnya terlalu sedikit untuk orang lain berteduh dibawahnya. Buah-buahan yang dihasilkannya juga tidak berguna kerana pahit, busuk dan tidak boleh dimakan.

Walaupun luarannya nampak hebat, tetapi dalaman mereka rosak. Apabila diberikan amanah memimpin, mereka mencabulnya demi mengejar nama dan pangkat. Jika berniaga, mereka menipu dan mengamalkan rasuah. Masyarakat sekeliling tidak mendapat manfaat daripada mereka, malah orang sekelilingnya menerima tempias bahana perbuatan jahat mereka.

0 comments:

Catat Ulasan