Definasi Dakwah Dan Islah:
Dakwah adalah bermakna 'panggilan' atau 'jemputan'; di mana ia bermaksud menjemput non-Muslim kepada Islam dan juga bermaksud mengajak Muslim memahami dan mengamalkan Islam yang sebenar, namun ia lebih kerap didefinasikan sebagai menjemput orang yang masih belum mempercayai atau menerima Islam kepada penerimaan agama Islam.
‘Islah’ secara literalnya bermaksud 'membaikpulih' atau 'meningkatkan' . Di dalam konteks Islam, ia merujuk kepada usaha untuk membaiki atau memperbetulkan amalan umat Islam.
Perbezaan antara Dakwah dan Islah:
Dakwah di dalam bahasa Arab sebenarnya memberi maksud satu jemputan, dan jemputan ini hanyalah merujuk kepada 'orang luar'. Malah di dalam terminologi Islam, Dakwah Islamiah bermakna jemputan kepada Islam. Maka apabila kita bercakap mengenai Islam kepada non-Muslim dengan tujuan menjemputnya menganut agama Islam, ia disebut sebagai Dakwah.
Ramai yang menyangka apabila kita bercakap mengenai Islam kepada sesama Muslim, ia dipanggil sebagai Dakwah, dan mereka menggunakan istilah ini bagi kedua-dua jenis usaha (kepada Muslim dan non-Muslim). Sedangkan secara asasnya, apabila kita bercakap mengenai Islam sesama Muslim untuk tujuan mendekati atau mendalami Islam, istilah yang lebih sesuai digunakan adalah Islah.
- Saya tak cukup ilmu untuk lakukan Dakwah
Ini adalah salah satu daripada alasan yang paling utama diberikan untuk tidak melakukan Dakwah. Nabi (saw) bersabda:
“Sampaikan (ajaranku) kepada yang lain walaupun hanya satu ayat” (Sahih Bukhari, Vol.4, Hadis 667)
Pada waktu dahulu, keadaan adalah berbeza. Kemudahan untuk menerima maklumat (ilmu) adalah sukar. Manusia ketika itu tidak mempunyai media, malah buku-buku mengenai Islam masih belum wujud. Tetapi kini, keadaan amatlah berbeza di mana kemudahan menerima maklumat (ilmu) telah menjadi amat mudah. Buku-buku ilmiah mengenai Islam telah ditulis oleh Muslim dengan begitu banyak. Malah banyak website tentang Islam boleh ditemui. Juga banyak video/vcd mengenai Islam boleh diperolehi.
Maka, setiap Muslim pada zaman ini sekurang-kurangnya telahpun ketahui satu ayat (mengenai Islam), dan kita boleh meningkatkan keberkesanan (usaha Dakwah) dengan berusaha menguasai satu tajuk tertentu sebagai langkah permulaan (dalam berdakwah). Sebagai contohnya tajuk “Adakah Isa itu Tuhan?” atau “Nabi Muhammad (saw) di dalam Bible” atau ajaran agama-agama lain atau apa-apa tajuk lain bergantung kepada siapa orang yang hendak kita Dakwahkan. Jika kita berminat, ia bukanlah satu masalah besar. Bahan-bahan untuk tujuan Dakwah boleh diperoleh dalam website ini.
- Diri saya sendiri pun masih teruk, jadi bagaimana saya nak Dakwah kepada orang lain?
Ini adalah satu kenyataan yang benar-benar ikhlas. Ia menunjukkan betapa Muslim itu adalah seorang yang amat suka merendah diri.
Kepada para Muslim yang merasakan dirinya belum cukup sempurna, sedarilah bahawa usaha Dakwah akan membantu kita menjadi pengamal Islam yang lebih baik. Setiap kali kita berkongsi sesuatu maklumat dengan orang lain (yang didakwah), dalam masa yang sama kita akan cuba memastikan juga peningkatan dalam amalan kita sendiri.
Kelemahan (perangai) kita tidaklah seburuk mana pun. Golongan missionari Kristian, yang berusaha menarik Muslim dan orang-orang dalam agama lain, meminum alkohol. Adakah kita minum alkohol? Tidak! Maka siapakah yang lebih baik, adakah mereka atau kita? Mereka berjudi. Adakah kita berjudi? Tidak! Maka siapakah yang lebih baik, adakah mereka atau kita? Mereka berzina. Adakah kita berzina? Tidak! Maka siapakah yang lebih baik, adakah mereka atau kita?
Jika mereka boleh lakukan kerja "dakwah", maka mengapakah kita tidak boleh? Bersama mereka adalah kebatilan. Bersama kita pula adalah kebenaran Islam (walaupun jika kita pernah minum alkohol, berjudi dan berzina). Maka kenapa kita tidak boleh lakukan tugasan ini? Ramai non-Muslim pada hari ini ingin mengetahui tentang Islam lebih-lebih lagi sejak peristiwa 11 September, 2001. Situasi kini lebih memihak kepada Islam. Maka jangan lepaskan peluang keemasan yang kita ada ini.
Nota: Apabila Penulis menyebut mengenai missionari, Penulis bukanlah bermaksud semua di kalangan mereka melakukan perkara-perkara buruk yang disebut tadi. Sebaliknya penekanan adalah diberikan bahawa secara umumnya, Muslim adalah lebih bermoral berbanding kalangan missionari, terutama missionari di negara Barat.
- Kita perlu perbetulkan umat Islam terlebih dahulu, kemudian barulah lakukan Dakwah kepada non-Muslim
Ini adalah salah satu alasan paling utama yang diberikan oleh Muslim yang tinggal di negara umat Islam (seperti Malaysia). Usaha membantu Muslim menjadi lebih baik disebut sebagai “Islah”. Sememangnya usaha ini adalah penting jika Muslim itu tidak berada di landasan yang betul. Kita tidak ada kuasa untuk mengubah mereka ini. Penulis ada mengenali beberapa "Muslim” yang tidak akan mengamalkan Islam biarpun selepas pelbagai hujah dan bukti dibawa kepada mereka. Maka adakah ini bermakna Penulis perlu terus berurusan dengan mereka (hingga semua Muslim menjadi sempurna) tanpa bergerak kepada usaha yang berikutnya (i.e. Dakwah)? Ingatlah bahawa tugas kita hanyalah menyampaikan kepada yang lain. Quran menyebut:
“Oleh itu berikanlah sahaja peringatan (wahai Muhammad, kepada manusia, dan janganlah berdukacita kiranya ada yang menolaknya), kerana sesungguhnya engkau hanyalah seorang Rasul pemberi ingatan. Bukanlah engkau seorang yang berkuasa memaksa mereka (menerima ajaran Islam) Akan tetapi sesiapa yang berpaling (dari kebenaran) serta ia kufur ingkar, - Maka Allah akan menyeksanya dengan azab seksa yang sebesar-besarnya.“ (Quran 88:21-24)
Dakwah dan Islah adalah sama penting. Di Madinah, semasa zaman Nabi (saw), telahpun wujud golongan Muslim yang tidak mahu berjemaah dalam Solat fardhu sehinggakan Nabi pernah bersabda “Aku rasa seperti mahu sahaja bakar rumah-rumah mereka ini”
Lihatlah, di Madinah sendiri masih terdapat ramai Muslim yang tidak mengamalkan Islam secara sempurna. Tetapi Nabi (saw) tidak pula menumpukan usaha baginda hanya kepada kelompok Muslim yang bermasalah ini sahaja. Sebaliknya dalam masa yang sama baginda telah menulis surat-surat kepada raja-raja yang bukan beragama Islam, dan menyeru mereka supaya memeluk agama Islam ini.
Lagipun, jika kita mengatakan bahawa kita mesti memastikan seluruh Muslim menjadi baik dahulu dan kemudian baru boleh mengajak non-Muslim kepada Islam, maka urusan Dakwah ini tidak akan dilaksanakan langsung. Ia (semua Muslim menjadi sempurna) tidak mungkin akan tercapai sepanjang hidup kita, malah ia belum tentu akan berlaku biarpun setelah sepuluh generasi bersilih ganti.
Ini bukanlah pula bermakna Penulis mengatakan bahawa kita hanya perlu melakukan Dakwah semata-mata. Kedua-duanya (Dakwah dan Islah) adalah penting. Tetapi seandainya kita mempunyai masa yang terhad, maka Dakwah adalah LEBIH penting kerana semua golongan non-Muslim adalah terlibat di dalam dosa syirik i.e mempersekutukan Allah. Inilah dosa yang paling besar. Quran menyebut:
“Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNya; dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan SyariatNya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah, maka sesungguhnya ia telah melakukan dosa yang besar.” (Quran 4:48)
Kita semua adalah sudah sedia maklum bahawa orang-orang yang terlibat dengan dosa tersebut bakal menghuni neraka. Jadi jika kita tidak mahu berusaha menghentikannya (dosa syirik), sudah pastilah mereka semua tidak dapat diselamatkan. Maka kerja melakukan Dakwah adalah wajib kepada setiapMuslim dan ia adalah tanggungjawab yang amat penting.
- Dakwah saya tidak akan berkesan.
Seperti yang telah dinyatakan, tugas kita bukanlah untuk menukarkan agama seseorang. Tugas kita hanyalah menyampaikan peringatan Allah. Hanya Allah yang memberi petunjuk dan hidayah. Quran ada menyatakan:
“Oleh itu berikanlah sahaja peringatan, kerana sesungguhnya engkau hanyalah seorang Rasul pemberi ingatan. Bukanlah engkau seorang yang berkuasa memaksa mereka.” (Quran 88:21-22)
Pada hari pembalasan Allah tidak akan bertanya sama ada kita berjaya mengislamkan mereka atau tidak. Sebaliknya Allah akan menyoal kita sama ada kita telah menyampaikan peringatan atau tidak.
- Bukankah Quran menyebut “Tiada paksaan di dalam agama”
Sememangnya Quran ada menyebut ayat tersebut. Tetapi kita tidak sepatutnya hanya mengambil sebahagian ayat sahaja. Ayat penuhnya berbunyi:
“Tidak ada paksaan dalam agama: Kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur)” (Quran 2:256)
Tugas kita adalah menyampaikan pesanan dengan pendekatan yang paling baik dan berhikmah. (Quran 16:125). Bukanlah tugas kita menukarkan agama seseorang. Seseorang Muslim TIDAK BOLEH memaksa sesiapapun memeluk agama Islam. Kita bertugas sebagai penyampai Kebenaran Islam. Selebihnya terpulang kepada mereka sama ada hendak terima atau sebaliknya.
- Bukankah Quran menyebut “Untukmu agamamu, untukku agamaku”
Sekali lagi, ayat diambil di luar konteks. Cuba lihat ayat di dalam konteks:
1. Katakanlah (wahai Muhammad): Hai orang-orang kafir!
2. Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah,
3. Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah.
4. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat,
5. Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat.
6. Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku. (Quran 109:1-6)
Persoalan mengenai penolakan kebenaran hanya akan timbul apabila kita telah menyatakan kebenaran Islam kepada mereka. Tugas kita adalah menyampaikan mesej kepada mereka. Jika mereka tidak mahu menerima, maka sebagai cara terakhir, barulah kita menyatakan “ bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku”.
Jadi, ini adalah cara terakhir, BUKAN cara pertama.
- Apabila kita melakukan dakwah, orang bukan islam menyatakan “ jaga urusan kamu sendiri”
Ini adalah alasan biasa yang diberikan oleh muslim. Jawapannya ialah menjadi urusan setiap muslim untuk mengingatkan orang lain tentang kebenaran. Dakwah adalah menjadi tugas yang wajib bagi setiap muslim. Oleh itu, apabila ada yang berkata “ jaga urusan kamu sendiri” dia adalah betul, itu adalah apa yang anda sedang lakukan. Anda sedang menjaga urusan anda sendiri.
- Orang akan sakit hati jika saya berdakwah. Ianya akan memberi kesan kepada hubungan persahabatan. Saya tidak mahu menyakiti sesiapa.
Persoalan yang timbul, adakah ianya menyakitkan anda apabila anda lihat kawan anda atau sesiapa melakukan kekufuran? Adakah anda sedar bahawa mereka akan ke neraka?
Tidakkah menyakitkan apabila mereka berkata Tuhan mempunyai anak? Firman Allah:
88 Dan mereka yang kafir berkata: "(Allah) Ar-Rahman, mempunyai anak."
89 Demi sesungguhnya, kamu telah melakukan satu perkara yang besar salahnya!
90 Langit nyaris-nyaris pecah disebabkan (anggapan mereka) yang demikian, dan bumi pula nyaris-nyaris terbelah, serta gunung-ganang pun nyaris-nyaris runtuh ranap, -
91 Kerana mereka mendakwa mengatakan: (Allah) Ar-Rahman mempunyai anak.
92 Padahal tiadalah layak bagi (Allah) Ar-Rahman, bahawa Ia mempunyai anak. (Quran 19:88-92)
Tidakkah ianya menyakitkan anda apabila mereka memberikan perjanjian yang salah dengan Allah. Quran menyatakan bahawa jika gunung-ganang mempunyai perasaan yang sama seperti anda dan saya, nescaya gunung-ganang akan runtuh ranap, bumi pula nyaris terbelah dan langit nyaris-nyaris pecah. Tapi, apa yang terjadi pada diri anda? Apa yang perlu anda lakukan adalah buka mulut.
Tambahan lagi, adalah menjadi salah tanggapan apabila anda berfikir melakukan dakwah akan memutuskan hubungan persahabatan. Apa yang penting, bagaimana pendekatan anda. Jika anda mulakan dengan persenda agama mereka, itu boleh menyebabkan perselisihan, tapi jika anda mulakan dengan pendekatan lemah lembut, insyaAllah anda tidak akan menyakiti hati sesiapa dan hubungan anda dengan Allah lebih penting daripada hubungan anda dengan kawan bukan islam. Sememangnya menjadi tanggungjawab kita untuk membetulkan salah tanggapan mereka terhadap islam dan menerangkan gambaran yang sebenar tentang islam.
Sebagai kesimpulan, ianya bergantung seteguh mana iman anda.
- Ianya akan menimbulkan provokasi di kalangan bukan islam.
Provokasi berkemungkinan terjadi jika seseorang itu membenci islam. Adakah ini alasan anda untuk berhenti menyampaikan peringatan dari Allah?
Provokasi bukanlah ujian. Jika ini adalah ujian, pastilah Nabi Muhammad (s.a.w) telah gagal (naudzubillah) . Pemimpin orang jahiliyah yang pernah menyayangi Baginda sebelum islam, telah menjadi musuh utamanya setelah islam. Adakah itu membuatkan nabi berhenti dari apa yang telah Allah perintahkan kepadanya?
Jadi, provokasi akan dicipta di kalangan orang bukan islam yang benci pada islam. Itu bukanlah bermakna mengganggu, sebaliknya anda perlu kekalkan usaha dan lakukan apa yang Allah perintahkan.
- Jika setiap muslim menjadi pendakwah, jadi siapa yang akan menjadi doctor, peguam, jurutera dsb?
Melakukan dakwah adalah tugas wajib setiap muslim. Dalam Quran menyatakan:
Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya. (Quran 3:104)
Tidak semua muslim perlu menjadi pendakwah sepenuh masa, tapi setiap muslim boleh melakukan dakwah separuh masa seperti dengan rakan sekerja yang anda temui setiap hari di pejabat, sekolah dan universiti. Semasa melancong, jika anda bertemu dengan orang bukan islam atau anda boleh melakukan islah dengan muslim yang anda jumpa yang mana tidak mengamalkan ajaran islam. Anda boleh melakukannya dengan media seperti computer, internet dsb. Anda boleh lakukannya melalui pelbagai cara.
Quran menyebut:
“Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik:” (Quran 16:125)
Amin!
Original source is in English here http://www.answerin g-christianity. com/yahya_ ahmed/top_ 10_excuses_ no_dawah. htm
0 comments:
Catat Ulasan