Pemimpin pelajar Islam di kampus bukanlah pemimpin yang sebarangan kerana mereka dibaiah oleh pendukung perjuangan Islam di kampus. Orang selalu memburuk-burukkan konsep baiah sebagai perbuatan taksub dan ekstrem. Sebenarnya, kita selalu tertipu oleh propaganda musuh Islam, baiah adalah warisan Islam yang diajar oleh Rasulullah SAW dalam perjanjian Aqabah dan Baitul Ridhwan. Baiah tidak boleh dilakukan kepada sebarangan orang. Baiah hanya boleh diberi kepada pemimpin yang alim, beramal dengan ilmunya dan berakhlak mulia. Cuma terdapat golongan ekstrem yang menyalah-gunakan baiah untuk kepentingan peribadi mereka. Oleh sebab itu, as Syahid Iman Hasan al Banna membentuk rukun baiah al Ikhwan bagi dihayati oleh para pengikut al Ikhwan yang mahu baiah kepadanya. Baiah jenis ini dapat mengurangkan ketaksuban tanpa ilmu pengikut kepada pemimpin sesebuah organisasi Islam.
Masyarakat luar, media massa dan mahasiswa selalu keliru tentang konsep baiah. Sebenarnya, kebanyakkan pemimpin pelajar Islam yang dibaiah adalah seorang yang alim, mempunyai pencapaian akademik yang baik dan berupaya berhujah dan mengurus organisasi dengan baik tetapi fitrah dunia membuktikan setiap kebaikan akan ditentang. Kalau Muhammad SAW yang diakui al-amin dan berbudi bahasa ditentang, apatah lagi insan kerdil yang dinamakan pemimpin pelajar Islam. Begitu juga Iman Hasan al Banna, keperibadian dan kealiman beliau telah berjaya menyinari roh perjuangan pengikutnya. Maka lahir insan kental dalam perjuangan Islam seperti Hajjah Zainab al Ghazali, Aminah Qutb, Musthafa al Masyhur dan Makmon al Hudaybi yang begitu hebat dizalimi.
Jika kita meneliti kebanyakkan pemimpin pelajar Islam, kita terpaksa mengakui kelebihan mereka. Jangan kita membenci mereka sehingga kita melupai kebaikan yang dimiliki oleh mereka. Permasalahan taksub terjadi apabila golongan ‘thaliban’[gelaran bagi golongan ekstrem dalam gerakan mahasiswa Islam] dalam gerakan pelajar Islam telah menyalah-gunakan semangat baiah ini untuk mencapai matlamat secara tergesa-gesa. Mereka ini selalu tersilap langkah dalam perencanaan dakwah sehingga perjuangan mereka tercalit dengan persepsi negatif daripada kerajaan, penguasa kampus dan masyarakat. Fenomena ekstrem ini berlaku dalam setiap organisasi dan ia adalah wahana semula jadi bagi memperseimbangkan kuasa dalam sesebuah organisasi. Dalam parti pemerintah pun terdapat golongan ekstrem, masih ingat lagi siapa yang memanjat tembok Dewan Perniagaan Cina Selangor atau siapa yang mendesak Tunku Abdul Rahman meletakkan jawatannya melalui surat layang dan golongan yang membangkitkan peristiwa 13 Mei dalam setiap perhimpunan agung partinya.
Dalam penelitian penulis, para pemimpin pelajar Islam tidak seradikal seperti yang diwar-warkan dalam media massa pro-pemerintah bahkan kita dapat merasai nilai persaudaraan begitu kuat ketika bersama mereka. Penulis mengakui ada di kalangan mereka yang tegas dan tergesa-gesa sehingga kadang-kala mereka tersilap langkah kerana terlalu sayangkan Islam. Pemimpin agung kita, Tun Dr. Mahathir sendiri seorang tegas seperti menolak pakej ekonomi Tabung Kewangan Antarabangsa [IMF]. Impaknya sehingga kini ekonomi kita dapat bertahan.
Pemimpin pelajar Islam haruslah menyalurkan semangat baiah ahli kepada mereka melalui wadah perjuangan yang positif. Adalah sedih jika pemimpin pelajar Islam mempergunakan pengikut dan persatuan untuk kepentingan survival politik mereka. Mereka cuba menonjolkan diri mereka dalam pimpinan organisasi, memimpin demonstrasi dan mengkritik kerajaan dan HEP tetapi di dalam hati mereka terselit niat untuk mempromosi diri agar ‘dibeli’ oleh pihak tertentu. Oleh sebab itu, tidak hairanlah jika kita melihat ramai pemimpin pelajar Islam yang menjilat ludahan mereka kembali, siapa yang tidak mengenali Anwar Ibrahim, Ibrahim Ali, Fuad Zakarshi, Che Johan Che Pa dan Ahmad Shaberry Cheek yang cukup lantang semasa di kampus.
Pemimpin pelajar Islam adalah manusia biasa yang mempunyai kepentingan semasa, mereka juga boleh jadi seorang mahasiswa yang tidak mahu menganggur. Kelantangan mereka di kampus untuk menonjolkan bakat politik mereka kepada pihak tertentu. Sejak di kampus lagi mereka melakukan ‘ziarah politik’ terhadap pimpinan parti pemerintah untuk menyalurkan kalimah indah untuk bersama parti pemerintah. Maka ada pemimpin pelajar Islam menjadi ‘orang-orang’ bagi tokoh tertentu dalam parti pemerintah. Mereka mula mengabaikan pengharapan tinggi pendukung gerakan pelajar Islam di kampus kepada mereka.
Penulis teringat bicara seorang pensyarah ekonomi di Universiti Malaya yang menyatakan ‘sokong PAS dapat apa?’. Anekdot ini cukup mengejutkan penulis apabila orang yang memiliki kelas ilmu yang tinggi bercakap persis orang kampung di Terengganu yang mendapat wang ehsan. Gejala material ini turut terkena kepada para pemimpin pelajar Islam. Akibatnya mereka menjauhkan diri daripada gerakan Islam setelah tamat belajar. Mereka mengatakan mereka sokong perjuangan Islam dari dalam dan senyap-senyap. Inilah janji pemimpin pelajar Islam yang palsu. Selepas mendapat kuasa, gerakan Islamlah yang mereka caci dan cemuh.
Platform perjuangan Islam bukan disempitkan dengan menyertai PAS sahaja. Perjuangan Islam melalui pendekatan politik bukanlah segala-galanya. Pemimpin pelajar Islam juga boleh menyertai elemen-elemen pentarbiyahan Islam dengan menjadi guru, pensyarah universiti atau menyertai organisasi kerajaan yang dapat membantu proses dakwah Islam. Pantang bagi pendukung gerakan Islam mengherotkan idealis Islami mereka kepada idealis sekular-nasionalisme.
Pengkhianatan dalam gerakan Islam bukanlah sesuatu yang baru. Hasan al Baquri, seorang ulama al Azhar yang disebut-sebut menjadi calon bakal Mursyidul Aam al-Ikhwan kedua, apabila diberikan jawatan menteri dalam kabinet Mohamad Naquib sanggup mengabaikan arahan Majlis Syura al Ikhwan dan Mursyidul Aam al-Ikhwan kedua, Iman Hasan al-Hudaybi supaya meletakkan jawatan. Dan siapa yang tidak mengenali Ustaz Nakhaie Ahmad, pakar pembuat kertas kerja yang mempertahankan organisasi yang disertainya telah menyertai parti pemerintah sewaktu memegang jawatan Naib Presiden PAS. Jika dulu beliau mempertahankan wira-wira Mamali dalam penulisannya, kini beliau mempertahankan parti pemerintah dalam isu Islam Hadhari. Tempias ini turut terkena kepada pemimpin pelajar Islam dimana ketika di kampus, mereka begitu kuat mempertahankan perjuangan Islam tetapi di dalam kerajaan mereka membisu seribu bahasa terhadap kemungkaran yang dilakukan oleh kerajaan bahkan mereka pula yang mencaci nasihat dan idealis pendukung Islam.
Tradisi melompat platform menjadi trend kepada pemimpin pelajar Islam yang ingin menikmati habuan dan kemudahan tertentu. Amatlah malang jika seseorang yang dulunya alim, faham agama itu syumul dan dicemuh kerana menggerakkan dakwah di kampus telah beralih ke lubuk sekular-nasionalisme. Mereka bukan sahaja bertukar platform tetapi bertukar idealis. Sesunggunhya memang benarlah bahawa iman kita boleh berubah-ubah dan hidayah hanya boleh dikurniakan oleh Allah SWT sahaja. Persoalannya sekarang, adakah anekdot pengkhianatan dan main politik pemimpin pelajar Islam akan terus berlangsung?. Kita menunggu langkah politik saudara Hishamuddin Abu Bakar, Muhamad Ramadan Fitri, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh, Mukthar Suhaili, Mohd Dzulkhairi Mohd Noor dan Mohd Fuad Mohd Ikhwan.
0 comments:
Catat Ulasan