Bila Mana!!



Renungan Buat Semua Insan Yang Dahagakan Keinsafan:

Ketika mana kamu dilahirkan maka kamu diazan tanpa sembahyang.
Ketika mana kamu mati maka kamu disembahyangkan tanpa azan.

Ketika mana kamu dilahirkan kamu tidak mengetahui siapakah yang mengeluarkan kamu dari perut ibumu.
Ketika mana kamu mati kamu tidak tahu siapakah yang membawa kamu di atas bahunya untuk dibawa ke kubur.

Ketika mana kamu dilahirkan kamu dimandikan dan dibersihkan.
Ketika mana kamu mati kamu juga dimandikan dan dibersihkan.

Ketika mana kamu dilahirkan ibu bapa dan keluarga gembira dengan kehadiranmu.
Ketika mana kamu mati ibu bapa dan keluarga berduka dengan pemergianmu.

Ketika mana kamu dijadikan maka kamu dijadikan daripada tanah.
Ketika mana kamu mati maka kamu masuk kubur yang juga daripada tanah.

Ketika mana kamu berada di dalam perut ibumu kamu berada dalam keadaan sempit dan gelap.
Ketika mana kamu berada di dalam kubur kamu juga berada dalam keadaan sempit dan gelap.

Ketika mana kamu dilahirkan kamu ditutupi dengan kain kapas (lampin).
Ketika mana kamu mati maka kamu juga ditutupi dengan kain kapas ( Kafan )

Ketika mana kamu dilahirkan ramai yang bertanya tentang kecantikan dan kebaikan kamu.
Ketika mana kamu mati maka Allah bertanyakan kamu tentang amalan solehmu.

Kes Fadzil Min Bahari: Perspektif Islam


Fadzil dan IanDi tengah pelbagai isu politik, musim tengkujuh sehingga banjir, tiba-tiba dikejutkan dengan berita seorang Melayu Islam warga Malaysia Fadzil Min Bahari yang mengahwini seorang warga Britain Ian Young. Berita perkahwinan secara sivil mereka diberi liputan besar di akhbar London. Meneliti artikel Fatine Takut Pulang Ke Malaysia, ada beberapa isu yang menjadi persoalan:

1. Fadzil ini sebenarnya seorang lelaki, khunsa atau maknyah?

2. Adakah beliau masih Islam?

3. Apa peranan keluarganya dalam membesarkan dan mendidik beliau?

Bagi soalan pertama, beliau dikatakan dilahirkan sebagai lelaki dan dibesarkan sebagai lelaki. Diberi nama lelaki. Cuma ketika berumur 17 tahun, beliau dikatakan mengambil hormon wanita. Kalau benar demikian, bererti beliau adalah seorang lelaki dan hukum sebagai seorang lelaki diperlakukan ke atasnya. Mengambil hormon wanita untuk menjadikan diri berperwatakan dan berwajah wanita adalah haram. Jika dakwaan beliau sebagai khunsa, maka khunsa itu ada dua. Satu khunsa musykil dan satu lagi khunsa wadhih. Khunsa musykil tidak diketahui alat kelamin mana satu lebih berfungsi. Khunsa wadhih ialah ia mempunyai dua alat kelamin tetapi salah satunya lebih jelas atau lebih berfungsi. Pondan/maknyah pula ialah seorang lelaki dari segi alat kelamin, cuma berperwatakan seperti perempuan.

Fadzil ini sebenarnya dalam kategori mana? Jika maknyah, muka dan lagak seperti perempuan, sedangkan alat kelamin lelaki, maka jelas hukumnya haram berkahwin dengan lelaki. Tak kira samada sivil atau syarak. Undang-undang dunia terutama di Barat mungkin boleh mengiktiraf kahwin sejenis, tetapi ia sebenarnya tetap songsang. Jika khunsa, maka alat kelaminnya perlu diperiksa untuk penentuan. Jika benar alat kelaminnya lebih cenderung kepada wanita, maka wajar ia ‘bernama Fatine’. Tetapi bagaimana dengan perkahwinan sivilnya? Siapa wali, saksi, cara beraqad? Rukun dan syarat nikah menurut Islam dipenuhi? Kalau benar beliau Islam, sepatutnya beliau berkahwin secara Islam. Ian Young boleh sahaja masuk Islam dan berkahwin dengan ‘Fatine’ dengan menurut rukun dan syarat perkahwinan dalam Islam.

Bagi soalan kedua, tiada tanda beliau keluar Islam. Kenyataannya tentang hukum-hakam, masyarakat Melayu yang berpegang kepada tradisi dan lain-lain kelihatan timbul dari kejahilannya tentang ajaran Islam itu sendiri. Namanya masih Mohamad Fadzil, menggambarkan masih Islam. Atau Fatine, kelihatan nama Islam. Tetapi perbuatannya berkahwin dengan lelaki bukan Islam (jika beliau Fatine) atau sesama lelaki (jika beliau lelaki atau maknyah) jelas haram. Berdosa dan beliau wajib bertaubat.

Bagi soalan ketiga, disebutkan bahawa keluarganya telah memutuskan hubungan dengannya. Saya tertanya-tanya apa sebenarnya yang berlaku dalam tempoh 17 tahun sejak kelahirannya sehingga beliau mengambil hormon wanita? Dari namanya tergambar kesungguhan sebuah keluarga yang mahukan anak yang bernama Mohamed Fadzil itu membesar sebagai seorang lelaki yang dipuji, yang ada kelebihan. Adakah dibesarkan dalam suasana agama dan memahami hukum agama? Tidakkah ada yang perasan tentang wataknya yang menjadi songsang ketika mengambil hormon wanita? Tidak adakah di kalangan keluarga yang menegur atau menasihatinya? Kalau semua perkara terbaik telah dibuat oleh keluarganya, tetapi beliau tetap dengan cinta butanya kepada seorang lelaki itu, sehingga tergamak berkahwin sivil di luarnegara, maka terlepaslah tanggungjawab ibubapa atau keluarganya. Jika tidak, maka inilah hasil tuaian dari sebuah semaian.

Nampaknya, sebuah cinta buta akhirnya menimbulkan masalah. Nak pulang ke Malaysia serba-salah, nak tinggal di sana pun tak boleh lama. Keluarga putus hubungan, Jabatan Imigresen dan Agama juga mungkin sedang memerhatikan. Masa kembali ke pangkal jalan masih ada, peluang masih terbuka. Kalau benar ia sedang rosak, masih boleh dibaiki. Terpulang kepada Mohamed Fadzil @ Fatine. Ikut rasa binasa, ikut hati mati, ikut nafsu lesu, ikut cinta buta merana, ikut Ian Young dibimbang agama melayang.