Allahu Ghoyatuna : Allah tujuan kami

In The name of Allah, the Most Gracious and The Most merciful

Sahabat-sahabatku yang dikasihi Allah,

Di tengah-tengah semester sekarang ini, masing-masing dari kita pasti disibukkan dengan tugas-tugas kuliah: mid-term exams, homework, paper, presentation, etc. Sering-sering dalam kesibukan macam ini waktu seolah-olah kurang saja. "I wish there were 30 hours in a day!", itu yang sering terbayang apabila tugas belum selesai, padahal due time hampir tiba. Malam menjadi siang, siang menjadi siang.

Masing-masing dari kita pasti pernah mengalami stress semacam ini. Sukacita dalam keadaan semacam ini ana hendak mengingatkan diri ana sendiri dan Sahabat-sahabatku semua: Apa sebenarnya yang hendak kita tuju dalam hidup ini? Apa tujuan kita dalam hidup?

- to get a high degree of education?

- to get a good job?

- to get a beautiful wife (handsome husband)?

- to be influencial?

- to get rich? - ???

Sahabat-sahabatku yang dikasihi,

Mungkin tujuan-tujuan hidup yang ana sebutkan di atas ada di fikiran kita selama ni. Itu lumrah saja, as human being. Akan tetapi, perlu kita sedari bahawa itu semua hanyalah tujuan temporer (sementara) saja. Ada tujuan kita yang lebih suci, yang lebih agung, dan yang lebih mendasar; karena tujuan yang satu ini mencakupi dan melandasi tujuan-tujuan temporer tersebut.

Apa tujuan itu?

Allahu ghayatuna -> Allah tujuan kita.........

Allah tujuan kita bererti kita mengikhlaskan untuk Allah segala perkataan dan perbuatan kita, ibadah dan perjuangan kita. Sehingga kita diakui sebagai hamba-hamba-Nya yang mukhlisin dan menjadilah semboyan yang selalu kita ikrarkan setiap waktu dan tempat: "Katakanlah: Sesungguhnya sholatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah Tuhan semesta alam, tiada sekutu bagi-Nya dan demikianlah yang diperintahkan kepadaku dan aku adalah orang yang pertama-tama menyerahkan diri kepada Allah." (Al-An'aam 162-163)

Sahabat-sahabatku yang dikasihi, Marilah kita renungkan sejenak hidup kita ini....

Sudahkah hidup kita ini sejalan dengan ikrar kita??? Solat kita hanya untuk Allah? Ibadah kita hanya untuk Allah? Hidup dan mati kita hanya untuk Allah?

Sekadar Itu sahaja Sahabat-sahabatku...

Sekadar renungan, Marilah kita sucikan tujuan kita agar hanya untuk Allah, Supaya segala amal & perbuatan kita diterima Allah Sebagai tabungan untuk hari Akhir..ingatlah bahawa Allah tidak melihat pada hasilnya, tetapi Allah melihat pada usaha kita..


Sepinggan dosa berulam 'pahala'

Sesungguhnya saya gusar malam ini. Saya telah menerima email dari seorang muslimah dan saya menggunakan istilah muslimah untuk mengistilahkan dirinya di alam realiti.
Namun masalah yang muslimah ini hadapi menjadikan saya sugul.
Percaya atau tidak, kes sepertinya sudah amat banyak yang sampai kepada email saya secara anonimus. Supaya warga kampus bangun mencelikkan mata, saya perturunkan salinan email jawapan saya kepada muslimah tersebut (secara anonimus), untuk muhasabah pembaca sekalian.
Kepada Allah juga saya mohon petunjuk dan perlindungan…

Assalamualaikum WBT.
Terdiam ustaz membaca email ukhti.
Kerana ini adalah email yang entah ke berapa menceritakan kes yang sama.
Percaya atau tidak, kes seperti ini semakin menular di kalangan generasi ukhti, sekurang-kurangnya pada apa yang sampai ke pengetahuan ustaz. Ustaz perlukan banyak masa untuk merenung dan berfikir, di manakah silapnya.
Antara kes sebelum ini, seorang muslimah berjubah dan bertudung labuh sangat mengasihi teman lelakinya. Jam 4 pagi, beliau menghantar sms mengingatkan teman lelakinya agar bangun bertahajjud… tetapi kemudian rahsianya terbongkar bahawa muslimah itu sebenarnya adalah ISTERI ORANG.
Semakin ramai siswa dan siswi cuba menjustifikasikan bahawa cinta mereka adalah suci kerana mereka ber’sms’ hal-hal iman dan amal, sedangkan yang terangsang bukanlah keinginan untuk beribadah, tetapi gelodak nafsu yang licik menipu.
Ustaz tak tahu nak start dari mana. Tetapi subjek utama dalam masalah ini adalah diri ukhti sendiri. Bukan soal teman lelaki ukhti, bukan soal apa yang Allah qadha dan qadarkan ke atas ukhti, bukan bakal anak yang nanti terkesan oleh dosa yang sedang dilakukan hari ini. Semuanya adalah persoalan diri ukhti sendiri. Sama ada ukhti mahu mengubah keadaan ini atau tidak. Itu sahaja.
Jika ukhti benar-benar mahu bertaubat, taubat dari belenggu dosa seperti ini harus disertakan dengan hijrah. Jika setiap kali bertemu dengan si dia mengingatkan ukhti kepada dosa yang ‘manis’ itu, maka ukhti mesti jujur dalam menilai. Apatah lagi ia bukan hanya soal perasaan. Ia adalah perasaan yang sudah direalisasikan oleh zina kecil sebelum Zina besar sebagaimana yang ukhti jelaskan. Maka ia bukan lagi soal mainan perasaan. Kalian berdua saling menjadi punca maksiat kepada satu sama lain.
Jika hubungan ini diteruskan, ukhti dan teman itu akan memikul kesannya di kemudian hari.
Rumahtangga yang dibina selepas banyak kemaksiatan dan keterlanjuran, akan dihukum oleh Allah dengan perasaan syak wasangka yang bakal menyelubungi perkahwinan itu. Masing-masing telah berjaya membuktikan bahawa Allah ‘telah kalah’ dalam perhubungan antum.
Maka, di masa depan nanti, suami akan sentiasa berfikir, jika ukhti berani melawan Allah bersamanya, apa lagi yang mampu menyekat ukhti dari melakukan perkara yang sama dengan lelaki lain. Ukhti juga akan berfikir, jika dia pernah berani beberapa kali membelakangkan Allah dalam perhubungan ini bersama ukhti, apa yang boleh menghalangnya dari melakukan perkara yang sama dengan perempuan lain.
Inilah yang ustaz temui di sepanjang pengalaman hidup, bertemu dengan pasangan yang pernah berdosa sebelum berumahtangga. Amat berat hukuman Allah apabila sebuah rumahtangga dibina tanpa kepercayaan di antara satu sama lain. Ia adalah hukuman dunia sebelum hukuman Akhirat.
Jika ukhti dan si dia masih bertarung dengan perasaan, maka ustaz boleh menasihati agar kalian saling berusaha untuk menjaga diri dan mempercepatkan perkahwinan. Tetapi ukhti dan si dia sudah saling bersentuhan, maka sama ada segeralah berkahwin, jika berani berdepan dengan risiko itu (mudah-mudahan terhindar dengan taubat bersama yang benar-benar tulen) atau saling berhijrahlah antum dengan meninggalkan satu sama lain, sejauh mungkin. Mulakan hidup baru dan mohonlah petunjuk dari-Nya.
Ustaz bersimpati dengan gelora yang ukhti hadapi tetapi ustaz enggan menghulurkan simpati itu andai ia menyebabkan ukhti mendapat ketenangan kerana tidak ada sumber penyelesaian kepada konflik ini kecuali taubat dan hijrah.
Lelaki dan perempuan yang baik bukanlah yang memakai kosmetik Islam pada sms berbau Islam atau pakaian berwarna Islam, tetapi pada kekuatan menghalang diri dari saling mengotorkan pasangan dengan maksiat. Betulkan kembali penilaian ukhti terhadap si dia yang ukhti katakan ‘baik’.
Sesungguhnya cabaran selepas berkahwin adalah jauh lebih berat berbanding dengan sekadar cabaran mengelak dari zina sebelum kahwin. Jika ini pun gagal, muhasabahlah diri segera sebelum melangkah ke usia dewasa yang lebih mencabar itu.
Ustaz doakan ukhti beroleh kekuatan dan petunjuk dari Allah untuk menyusun kembali kehidupan. Maaf andai bahasanya pahit, tetapi dalam pahit itu selalu ada penawarnya.
Tiada siapa yang mampu membantu ukhti kecuali ukhti sendiri sebagai tuan empunya badan dan kehidupan.

Salam dan doa dari ustaz.
ABU SAIF (saifulislam.com)

10 Cara Membahagiakan Ibubapa

Setiap anak wajib berbakti dan mentaati ibu bapa bertujuan membahagiakan kehidupan mereka melalui hari tua. Ajaran Islam meletakkan ibu bapa pada kedudukan yang mulia.
Banyak bakti yang boleh dilakukan kepada ibu bapa. Bakti itu dalam bentuk material dan hubungan kasih sayang. Ini bersesuaian dengan fizikal ibu bapa yang semakin uzur dan memerlukan lebih perhatian.

Terdapat sekurang-kurangnya 10 bakti perlu dilakukan setiap anak terhadap ibu bapa.

1.Memberi nafkah. Terdapat ibu bapa yang berdepan dengan masalah kewangan. Mereka tidak dapat lagi melakukan tugas seharian disebabkan faktor usia. Kalaupun berkerja, tetapi tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan keluarga yang semakin meningkat.

Justeru menjadi tanggungjawab anak memberi nafkah atau bantuan kewangan kepada ibu bapa. Sumbangan itu tidak seberapa berbanding yang dibelanjakan ibu bapa untuk membesar dan mendidik anak.

2.Menyediakan tempat tinggal. Dalam kes ibu bapa yang hilang tempat tinggal, atau tidak sesuai untuk didiami, adalah menjadi tanggungjawab anak menyediakan tempat tinggal yang lebih sesuai kepada ibu bapa.

Paling baik jika ibu bapa dibawa tinggal bersama agar dapat menjamin keselamatan dan keperluan harian mereka diuruskan dengan baik.

3.Memberi kasih sayang. Kasih sayang adalah sebagai membalas kasih sayang yang selama ini telah dicurahkan ibu bapa. Kasih sayang ibu dan bapa tidak pernah padam terhadap anaknya. Jadi seharusnya kasih sayang itu dibalas dengan sebaik-baiknya.

Anak yang baik tidak melupai jasa dan kasih sayang kedua ibu bapa. Anak soleh sentiasa memohon kepada Allah agar ibu bapa mereka diberkati dan dicucuri rahmat.

Firman Allah bermaksud: 'Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka mencurahkan kasih sayang memelihara dan mendidikku ketika kecil.' (Surah al-Isra, ayat 24).

4.Memberi perhatian. Ibu bapa yang diabaikan akan merasai kesunyian. Mereka terasa disisih dan dan seperti tidak diperdulikan. Hal ini memberi tekanan perasaan dan menyebabkan kemurungan. Keadaan ini jika berterusan memberi kesan kepada kesihatan fizikal dan mental ibu bapa.

Penerapan amalan memberi perhatian terhadap ibu bapa perlu disemai, dibajai serta disuburkan dalam kehidupan masyarakat kita. Kes anak yang membuang ibu bapa semakin meningkat. Anak memandang jijik terhadap ibu bapa sendiri.

Banyak ibu bapa yang disisihkan dan dihantar ke rumah rumah penjagaan orang-orang tua. Sukar diterima akal anak mendakwa tidak mampu menjaga ibu bapa. Sedangkan, ibu bapa mampu menjaga dan membesarkan beberapa orang anak.

5.Memenuhi permintaan. Ibu bapa seringkali memerlukan bantuan anak untuk melaksanakan sesuatu keperluan. Permintaan itu mungkin dalam bentuk kewangan, tenaga dan masa.

Memenuhi permintaan ibu bapa perlu diutamakan berbanding melakukan tugas lain. Sesungguhnya, memenuhi permintaan ibu bapa lebih baik berbanding melakukan ibadat sembahyang sunat, berpuasa sunat, dan seumpamanya.

Malah keutamaan berbakti kepada ibu bapa lebih utama berjihad di medan perang. Diriwayatkan daripada Bukhari dan Muslim, Ibnu Umar berkata: 'Saya telah bertanya kepada Nabi Muhammad: Apakah perbuatan disukai oleh Allah?'

Lalu baginda bersabda: Sembahyang pada waktunya. Kemudian apa?? tanya saya lagi. Baginda menjawab: Berbakti kepada kedua ibu bapa. Saya bertanya: Apa lagi. Jawab baginda: Berjihad pada jalan Allah.

6.Melakukan apa yang disukai. Ibu bapa sudah tentu mengharapkan anaknya melakukan sesuatu yang baik pada pandangan mereka. Melakukan perkara yang tidak sukai ibu bapa bermakna melakukan perbuatan derhaka.

Anak derhaka kepada ibu bapa tidak mendapat keberkatan dalam kehidupannya. Sesiapa derhaka kepada ibu bapa disegerakan balasan di dunia dan tidak terlepas di akhirat.

Sabda Rasulullah bermaksud: Dua kejahatan yang disegerakan balasan di dunia ialah zina dan menderhaka kepada dua ibu bapa.(Hadis riwayat Tirmizi).

Dalam hadis lain diriwayatkan al-Hakam bermaksud: Semua dosa akan ditangguhkan Allah, yakni balasan menurut kehendak-Nya hingga ke hari kiamat, kecuali balasan menderhaka kepada kedua ibu bapa. Maka sesungguhnya Allah menyegerakan balasan kepada pelakunya pada masa hidupnya sebelum mati.

7.Bercakap dengan lemah lembut. Satu cara menjaga perasaan ibu bapa ialah bercakap lemah lembut dengan mereka. Suara hendaklah direndahkan dan jangan membantah permintaan mereka.

Firman Allah bermaksud: Tuhanmu telah memerintahkan, supaya kamu tidak menyembah selain Allah, dan hendaklah berbuat santun terhadap kedua orang tua. Jika salah seorang telah lanjut usianya, atau kedua-duanya telah tua, janganlah sekali-kali engkau berani berkata cis! terhadap mereka dan janganlah engkau suka menggertak mereka. Tetapi berkatalah dengan sopan santun dan lemah lembut. (Surah al-Israk, ayat 23).

Sesungguhnya, anak ditegah membantah kata-kata ibu bapa dengan suara tinggi atau bermaksud merendahkan kedudukan ibu bapa. Lebih baik berdiam diri daripada berkata-kata yang mungkin menyinggung perasaan ibu bapa. Kemudian jika ada kesempatan, gunakan cara yang lembut untuk menjelaskan keadaan sebenar.

8.Menghadiahkan kejayaan. Ibu bapa sentiasa mengharapkan kejayaan anak mereka. Anak hendaklah berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan agar dapat dikongsi kegembiraannya bersama-sama dengan ibu bapa.

Jadi, jika memperoleh kejayaan dalam pelajaran, mendapat pekerjaan, dinaikkan pangkat dan seumpamanya, seharusnya dimaklumkan kepada ibu bapa. Ibu bapa dibawa bersama-sama dalam majlis untuk meraikan kejayaan itu.

9.Meluangkan masa bersama-sama. Anak yang tinggal berasingan dengan ibu bapa perlu kerap meluangkan masa mengunjungi ibu bapa. Ibu bapa berasa senang menerima kunjungan dan menatap wajah anaknya.

10.Mendoakan kebaikan untuk ibu bapa. Anak perlu sentiasa mendoakan kebaikan untuk ibu bapanya. Amalan mendoakan kebaikan untuk ibu bapa perlu diteruskan biarpun ibu bapa telah meninggal dunia.

Sabda Rasulullah bermaksud: Apabila meninggal seseorang itu, maka terputuslah segala amalannya, melainkan tiga perkara iaitu sedekah jariah yang berterusan memberi manfaat, ilmu yang memberi kebaikan diajarkan kepada orang lain dan anak yang soleh yang sentiasa mendoakan kebaikan kepada kedua ibu bapanya. (Hadis riwayat Muslim).

Kebaikan dilakukan anak terhadap ibu bapa sebenarnya amat kecil Anak tidak mampu untuk membalas jasa ibu bapa sepenuhnya biarpun dia berbakti sepanjang hayatnya.

Gunakan kesempatan yang ada untuk melakukan bakti terhadap ibu bapa sebaik mungkin. Masa untuk anak berbakti kepada ibu bapa sebenarnya semakin suntuk. Lambat laun ibu bapa akan meninggal dunia. Bertindaklah sebelum terlambat, selagi ibu bapa atau salah seorangnya masih hidup.

Kita selalu melihat dia ketawa,tetapi mungkin sebenarnya dia tidak setabah yang kita sangkakan.Di sebalik senyumannya mungkin banyak cerita sedih yang ingin diluahkan.Di sebalik kesenangannya mungkin tersimpan seribu kekalutan..Kita tidak tahu.Tetapi jika kita cuba jadi sahabat sepertinya,mungkin kita akan tahu.